Alhamdulillah.... Selesai sudah aku bersama keluargaku menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Kali ini kami memilih untuk menyambutnya di keluarga sebelah mama di Johor. Ini kerana ketika Hari Raya Aidilfitri yang lalu, kami menyambutnya di Kedah, iaitu keluarga sebelah abahku.Aku bersama beberapa orang sepupu hanya menghabiskan hari raya di rumah datuk, sambil bermain-main sesama kami. Apa taknya, peluang bertemu sesekali begini haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi kami yang masih di alam kanak-kanak ini. Setidak-tidaknya, dapat juga mengeratkan siraturrahim sesama kami.
Aku terkenagkan nenek yang masih berada di Tanah Suci bagi menunaikan fardhu haji. Tahun ini nenek beraya di sana. Aku tahu nenek pastinya tidak kesunyian di sana kerana terdapat puluhan jutaan umat Islam turut bersamanya di situ. Semoga nenek dapat menunaikan haji dengan sebaik mungkin. Kami sekeluarga akan menanti kepulangan nenek di KLIA pada 8 November nanti.
Di Johor, mama menyediakan juadah di pagi hari raya. Kali ini aku tidak membantu kerana sudah terdapat adik beradik mama memenuhi ruangan dapur, lagipun biarlah mereka yang pakar sahaja yang menyediakannya. Namun, adikku seperti biasa, akan tetap ingin melakukan sesuatu atas nama bantuan. Ku lihat adik memotong sayur-sayuran. Kadang-kadang adikku ini kurasa seperti jauh lebih matang dari umur 7 tahun kerana pelbagai benda yang dia tahu.
Adiklah yang selalu menjadi penghibur kami sekeluarga, sama ada di rumah mahupun di dalam kereta. Ada sahaja bahan lawak yang dilepaskan olehnya secara selambe.
No comments:
Post a Comment